Tanpa menafikan kualiti dan kesedapan restoran nasi kandar rangkaian yang masyhur seperti Kayu, Subaidah, Pelita, Nasmir dan sebagainya, senarai ini sengaja memberikan perhatian kepada restoran atau gerai nasi kandar yang lain sebagai memberi peluang kepada perkembangan mereka. Malah ada di antara restoran ini yang menyajikan nasi kandar yang lebih sedap dan berperisa.
Kualiti sesuatu hidangan nasi kandar biasanya dikaitkan dengan kelembutan nasinya serta kesedapan campuran kuah karinya. Lauk pauknya yang pelbagai menjanjikan pilihan yang lebih luas untuk penggemar nasi kandar. Sungguhpun begitu, antara lauk yang paling popular adalah ayam goreng atau ayam madu, sotong, telur rebus goreng dan bendi rebus/kukus.
Bagi penggemar nasi kandar, kadangkala hidangan nasi dengan seketul ayam goreng sudah memadai jika dibumbui dengan campuran kuah yang bertepatan. Disini kami kongsikan nasi kandar terbaik seluruh Malaysia.
#1 Jalal Nasi Kandar
Jalan Kaki Bukit, 01000 Kangar, Perlis
Senarai nasi kandar terbaik dimulakan nun jauh di utara dengan Restoran Jalal Nasi Kandar. Antara nasi kandar paling popular, bukan saja popular tetapi juga amat sedap di Perlis. Jalal Nasi Kandar dianggap sebagai nasi ganja di Perlis.
Restoran ini tidak menyajikan lauk pauk yang terlalu banyak tetapi hanya lauk pauk asas nasi kandar seperti ayam goreng, sotong, udang, daging, telur dan juga sedikit sayuran seperti bendi dan kobis. Namun iatu sudah cukup untuk menarik ramai penggemar nasi kandar di negeri Perlis mahupun pengunjung dari luar.
Salah satu menu terbaik Jalal adalah ayam masak ros serta kari sotongnya amat memukau selera. Sesiapa saja mudah terliur dengan hidangan ini. Selain itu, kari ayam kampungnya juga antara yang terbaik. Campuran kuahnya adalah pengikat rasa yang menjadikan restoran ini pilihan ramai.
Walaupun harganya agak tinggi dengan kedudukannya di negeri Perlis, namun jika dilihat pada kualiti makanan serta servisnya, dengan pekerja dan tauke yang ramah, kita tidak akan berfikir banyak kali sebelum menikmati Nasi Kandar Jalal.
#2 Nasi Lemak Haji Ali
Jalan Seberang Perak, Alor Star, Kedah
Nasi Lemak Haji Ali, walaupun disebut nasi lemak, pastinya ia lebih kepada hidangan nasi kandar. Restoran ini merupakan salah satu restoran nasi kandar pilihan pelanggan di Alor Setar selain Nasi Lemak Royale yang terkenal itu.
Pada malam terdapatnya perlawanan bolasepak membabitkan pasukan Kedah, restoran ini akan menjadi tumpuan sejurus selepas perlawanan berakhir dengan para penyokong yang mahu menjamu selera.
Selain kehadiran penggemar tempatan, restoran ini juga menjadi tumpuan pelanggan dari luar yang berkunjung atau singgah di Alor Setar. Seperti resam biasa nasi kandar, kekuatannya adalah campuran kuah kari yang amat sedap. Ayam madu dan ayam masala adalah antara menu yang paling popular selain menu biasa, ayam goreng. Malah nasi Restoran Haji Ali juga berperisa dan sedap.
Rasa masakan paru dan sotongnya juga agak sedap dan menyelerakan. Sungguhpun begitu, kuahnya dikatakan sedikit pedas dan kurang digemari sesetengah pengunjung. Tetapi kita boleh mengimbangkannya dengan kuah manis.
Servis di sini amat baik cuma kadangkala limpahan pelanggan yang terlalu ramai melambatkan servisnya. Harganya tidaklah terlalu mahal dan amat berpatutan.
#3 Restoran Nasi Kandar Deen
Jalan Jelutong, 11600 Jelutong, Penang
Bercakap soal nasi kandar di Pulau Pinang, pastinya kita tidak boleh mengelak daripada memperkatakan tentang nasi kandar Deen.Walaupun Pulau Pinang dibanjiri dengan restoran nasi kandar terbaik seperti Line Clear, Kayu, Nasi Kandar Beratur, Shariff dan pelbagai nama lagi, namun Deen masih berada di situ sebagai salah satu yang terbaik malah ada yang mengatakan ia adalah yang terbaik dan bertaraf lagenda.
Menu nasi kandar Deen tidak terlalu banyak. Lauk pauknya hanyalah yang biasa iaitu ayam goreng, ayam kari, kari kambing, ikan, sotong, udang, telur sotong, telur, masak hitam daging serta sedikit sayuran tetapi cukup untuk menarik barisan panjang penggemar nasi kandar.
Kekuatannya adalah campuran kuah yang membanjiri nasinya yang panas. Anda jangan memandai-mandai membuat gabungan kuah, hanya biarkan sahaja pekerja di sini yang mencampurkan untuk anda. Pasti anda tidak akan kecewa sama sekali.
Ayam gorengnya adalah suku seekor ayam yang kecil tetapi ia digoreng rangup dan kita tidak akan tersedar menghabiskannya dengan amat cepat. Begitu juga ikan gorengnya yang juga rangup dan dagingnya yang amat lembut. Kari sotong dan telur sotongnya juga amat menyelerakan.
Walaupun restoran ini dibuka 24 jam, akan tetapi hidangan nasinya tidak dihidangkan pada waktu-waktu tertentu untuk pembersihan. Harga dan servisnya amat baik dan berpatutan dengan statusnya di Bandaraya Pulau Pinang.
#4 Nasi Kandar Ali
Jalan Kelichap, Parit Buntar, Perak
Tinggalkan seketika Pulau Pinang kerana di Perak juga terdapat nasi kandar yang baik. Tetapi yang terbaik di Perak terletak di Parit Buntar iaitu Restoran Nasi Kandar Ali. Nasi kandar Ali ini dikatakan sebagai yang terbaik di Perak kerana campuran kuah ala penangnya begitu ‘marvellous’.
Restoran ini juga dilabelkan sebagai nasi kandar beratur versi Parit Buntar. Walaupun namanya Ali, namun ia tidak ada kena mengena dengan Nasi Lemak Haji Ali di Alor Setar. Tetapi kualiti makanannya amat sedap dengan ayam madu dikatakan ‘signature dish’ yang paling sedap di restoran ini.
Ada yang mencadangkan ayam madu dan kuahnya dengan sedikit campuran kuah yang lain dan sebiji telur rebus cukup untuk meransang neuron deria rasa yang meledak-ledak.
Sungguhpun begitu masih terdapat lauk pauk yang lain untuk dinikmati bersama nasi yag lembut dan panas. Kari ikan, sotong, udang, daging malah tauhunya juga mampu membangkitkan selera selain sayuran asas nasi kandar seperti kobis dan bendi. Pekerja di sini mampu menjadikan aneka komponen ini satu hidangan yang amat menarik.
Minumannya tidak mengecewakan walaupun tidak standing keenakan nasinya yang amat sedap itu. Harganya pula ‘average’ dan sesuai dengan kedudukannya di Parit Buntar manakala servisnya agak baik walaupun kadangkala ada pelanggan yang mengatakan pekerja dan juruwangnya agak sombong dan berkira. Apapun, restoran Nasi Kandar Ali masih antara yang terbaik di Perak.
#5 Restoran Nasi Kandar P.Pinang
Berdekatan Billion Shopping Centre (Jalan Sultan Yahya Petra), 15200 Kota Bharu, Kelantan
Pantai Timur terutamanya Kelantan bukanlah syurga untuk penggemar nasi kandar kerana kebanyakan penduduk tempatan lebih memilih nasi kerabu dan nasi ulam. Namun keperluan untuk menyajikan nasi kandar di Kelantan masih wujud bagi memenuhi selera pengunjung dari luar mahupun sesiapa saja yang gemarkan nasi kandar.
Sebagai menarik pelanggan, nama restoran Nasi Kandar Pulau Pinang digunakan untuk menyandarkan sajian di sini kepada keenakan nasi kandar dari Pulau Pinang. Namun ia bukan hanya pada nama kerana sajian nasi kandar di sini masih berkualiti dan sangat enak walaupun mungkin tidak setanding nasi kandar di Pulau Pinang.
Tetapi ia cukup untuk menghilangkan rindu kepada Pulau Pinang. Nasinya yang panas amat lembut dengan campuran kuah kari ala mamak penang menaikkan rasa dan aroma kari kandar yang amat menyelerakan.
Ramai juga penduduk tempatan yang tidak melepaskan peluang merasai sendiri keenakan nasi kandar di restoran ini. Dengan saingannya yang tidak begitu banyak, maka dengan mudah nasi kandar di sini boleh dinobatkan sebagai nasi kandar terbaik di Kelantan disokong oleh nasinya yang sedap dan servis yang agak baik serta harganya yang berpatutan.
Selain nasinya, restoran ini juga terkenal kerana roti tempayan atau roti naan dengan ayam tandoori yang dianggap terbaik di Kota Bharu.
#6 Sri Utara Dua Nasi Kandar
Kuantan Port, Kuantan, Pahang
Mencari nasi kandar di Pahang bukanlah perkara yang pelik kerana sememangnya di Kuantan Port terdapat sebuah restoran nasi kandar yang keenakannya setaraf nasi kandar terbaik Pulau Pinang. Sajian di sini menyajikan nasi kandar dengan beberapa jenis lauk pauk yang amat sedap dan karinya sangat menyelerakan.
Bermula daripada ayam goreng, gulai kambing, kari ikan, sotong masak rempah, daging masak hitam sehinggalah kepada sayuran, acar sayur dan juga papadom, semuanya saling melengkapi dan amat sedap.
Dengan daging yang lembut, ayam yang rangup dan berjus serta sotong yang kemanis-manisan, rasanya melompat-lompat di dalam mulut membuatkan anda sanggup membayar berapa saja harganya.
Uniknya, restoran Sri Utara Dua Nasi Kandar ini adalah dimiliki oleh orang Melayu, akan tetapi kualiti karinya amat terasa dan mampu mencabar kari mamak ala penang. Penggemar nasi kandar sekitar Kuantan pasti boleh tiba ke restoran ini walaupun mata ditutup. Malah pengunjung dari luar juga menggemari sajian nasi kandar Kuantan Port ini.
Pujian terhadap keenakan nasi kandar ini turut dizahirkan oleh pengunjung yang memang biasa dengan nasi kandar terbaik seluruh negara. Restoran ini boleh dianggap menyajikan nasi kandar terbaik di Pantai Timur. Jika anda di Kuantan, tiada siapa akan mentertawakan anda jika anda mengatakan makanan terbaik di sini adalah nasi kandar.
#7 Restoran Nasi Kandar Seri Kota
Jalan Permas 9, Johor Bahru, Johor
Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang restoran ini kerana ia menyajikan nasi kandar yang mempunyai komponen-komponen asas nasi kandar yang sama seperti restoran-restoran lain terutamanya restoran rangkaian nasi kandar yang berselerakan di seluruh Malaysia.
Akan tetapi, kapasitinya sebagai nasi kandar yang berdiri sendiri di negeri Johor menjadikan ia sesuai untuk senarai ini. Malah sajian nasi kandarnya juga tidak menghampakan. Dengan panas yang berperisa dan kuah kari yang amat sedap menjadikan restoran ini antara pilihan utama penggemar nasi kandar di negeri Johor.
Lauk pauknya juga disajikan dengan amat baik dan mempunyai rasa yang amat sedap. Ayam goreng, kari ayam, kari ikan, kari kambing, sotong rempah dan pelbagai lagi lauk pauk mampu mengikat selera dengan amat mudah.
Jadi tidak hairanlah jika nasi kandar Seri Kota ini diiktiraf sebagai antara nasi kandar terbaik di Johor
#8 Nasi Kandar Kampung Melayu
Jalan Pisang Tanduk, Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang
Berbicara tentang nasi kandar pastinya kita tidak boleh lari dari Pulau Pinang. Oleh itu, senarai ini terpaksa kembali ke Pulau Pinang. Kali ini, tumpuan kita adalah nasi kandar Kampung Melayu, Air Itam yang amat popular dikalangan masyarakat Pulau Pinang. Malahan keasyikan nasi kandar ini turut dihayati oleh pengunjung dari luar yang kadangkala sengaja dating awal ke Kampung Melayu semata-mata untuk menikmati nasi kandar ini.
Dibuka seawal pagi, ia menyajikan ayam goreng pada saiz yang besar, sotong yang gemuk penuh dengan telur dimasak berempah serta bermacam-macam lagi lauk pauk yang amat sedap. Juga terdapat kari kambing, kari ikan, udang, daging dan lain-lain. Sukar untuk menentukan lauk popular kerana hamper kesemuanya amat menyelerakan.
Anda perlu membiarkan pekerja di sini menggunakan kemahiran mereka mencampurkan kuah kerana hasilnya amat mengagumkan. Karinya dimasak menggunakan rempah buatan sendiri yang digiling dengan bahan-bahan terpilih. Tidak hairanlah rasanya amat unik dan tersendiri dengan perisa yang kuat dan beraroma. Ini dengan jelas meletakkan mereka berbeza dengan restoran nasi kandar yang lain.
Seawal pagi juga, kita boleh melihat barisan panjang untuk memesan nasi kandar di sini. Sungguhpun demikian, servis yang amat pantas dan efektif ini menjadikan masa sajianya cepat. Walaupun anda terperangkap di dalam barisan yang amat panjang, masa anda menunggu tidaklah terlalu lama.
Harganya amat berpatutan jika dibandinngkan dengan restoran nasi kandar yang lain menjadikanya pilihan utama nasi kandar di Pulau Pinang.
#9 Nasi Kandar Padang Kota
Mydin MITC, Melaka
Melihat pada namanya, anda jangan sesekali tertipu bahawa nasi kandar ini adalah cawangan dari restoran nasi kandar di Padang Kota. Malahan di Pulau Pinang sendiri, padang kota bukanlah tempat untuk penggemar nasi kandar. Akan tetapi namanya sengaja diletakkan untuk mengambil roh nasi kandar dari Pulau Pinang.
Tindakan tersebut agak berbaloi dan tidak memalukan kerana nasi kandar yang dihidangkan di sini juga amat baik dengan lauk pauk yang tidak mengecewakan. Nasinya juga sedap dan dibumbui pula oleh ayam goreng atau apa saja lauk pilihan anda dengan kuah karinya yang disatukan dengan baik dengan mudah memerangkap emosi rasa anda. Aromanya juga hebat.
Sungguhpun demikian, ada yang berpendapat masih jauh untuk dibandingkan dengan nasi kandar Pulau Pinang namun ia masih juga merupakan restoran nasi kandar terbaik di Melaka dengan penggemar nasi kandar pasti akan datang kembali.
Selain itu, salah satu hidangan ‘signature’ di sini adalah nasi biryani yang paling menjadi tumpuan dan pilihan ramai. Juga ada pengunjung yang menyatakan bahawa di sinilah kita boleh menikmati mee goreng mamak terbaik di Melaka. Jom cuba makan di Nasi Kandar Padang Kota.
#10 Restoran Raihan Nasi Kandar
5 Jln Penggawa U1/75, Batu 3, 40150 Shah Alam, Selangor
Shah Alam bukanlah tempat yang asing untuk nasi kandar. Pelbagai restoran nasi kandar dibuka di sekitar Shah Alam kerana pola penduduk Melayu yang agak ramai di situ. Malah permintaan untuk industri makanan di Shah Alam amat tinggi.
Antara restoran yang terbaik di sini adalah restoran Raihan. Menyajikan nasi kandar ala penang dengan rempah ratus yang memang didatangkan khas dari Pulau Pinang, sememangnya nasi kandar di sini dengan campuran kuah kari yang berbeza, mampu memberikan rasa yang amat sedap.
Ayam goreng berempah yag digoreng dalam minyak yang amat panas menjadikannya amat rangup dan berjus. Degan mudah mampu membuatkan pengunjung akan datang semula. Setiap sajian pula boleh ditabur dengan “ganja” atau sebenarnya serpihan rempah gorengan yang amat sedap menjadikan hidangan tersebut amat sedap.
Selain ayam goreng berempah tersebut, antara menu yang amat memukau adalah daging masak hitam yang juga amat sedap. Menambahkan sedikit kuah daging tersebut cukup untuk menjadikan pinggan kita begitu menyelerakan. Sotong goreng juga menambahkan lagi rasa nasi kandar ini. Campuran kuah karinya amat berperisa dan sedap.
Ramai yang berpendapat nasi dengan ayam goreng berempah dan di bumbu oleh campuran kuah dan sedikit ganja sudah cukup untuk membuatkan anda terbangun. Pendek kata, nasi kandar Raihan adalah antara yang terbaik di Shah Alam.
………………………………………………………………………………………………………………..
Senarai ini sekadar memberikan idea bahawa nasi kandar terbaik juga boleh didapati di seluruh pelusuk tanahair walaupun yang terbaik masih di Pulau Pinang. Tidak hairanlah jika dua buah restoran dari Pulau Pinang berada di dalam senarai ini walaupun hakikatnya masih terdapat beberapa gerai nasi kandar terbaik di Pulau Pinang. Boleh sahaja klik sini untuk tempat makan nasi kandar sedap di KL.
Apapun, setidak-tidaknya penggemar nasi kandar tidak perlu bimbang jika merantau kerana nasi kandar ini boleh didapati dengan mudah bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.
No comments:
Post a Comment