Malah ada kalangan pengunjung asing dari Barat mahupun negara-negara Asia Timur, juga dari Timur Tengah yang menggemari nasi lemak walaupun tidak tahan dengan kepedasan sambalnya. Di mana-mana saja di Malaysia, bermula seawal Subuh hening malah ada yang lebih awal, nasi lemak mula disajikan di gerai-gerai hatta di rumah sekalipun.
Pada malam hari, nasi lemak akan mendapat permintaan semula untuk penggemar makanan lewat malam. Sungguhpun reputasi nasi lemak sebagai penyumbang kolesterol yang tinggi saban hari diwar-warkan, namun permintaannya semakin meningkat kerana kenikmatan rasa dan keenakannya membuatkan ia benar-benar berbaloi untuk dimakan.
Resipi nasi lemak asas biasanya adalah nasi yang dimasak dengan santan, sambal tumis ikan bilis, telur rebus dan timun. Setiap hidangan nasi lemak perlu ada elemen-elemen tersebut untuk digelar nasi lemak. Namun, hari ini lauk pauknya semakin dipelbagaikan.
Ayam goreng adalah tambahan lauk yang paling popular tidak kira samada ayam goreng berempah atau ayam goreng biasa. Ada juga sambal udang, sotong, masakan daging, paru, ikan mahupun aneka sayuran. Lauk pauk ini menjadikan nasi lemak lebih luas pilihannya dan mampu menarik perhatian lebih ramai pelanggan.
Kualiti nasi lemak pastinya berkisar kepada rasa dan tekstur nasi serta keenakan sambalnya. Gabungan inilah yang menjadi kayu ukur sejauh mana nasi lemak itu berkualiti. Di sini disenaraikan antara 10 tempat makan nasi lemak terbaik di negara ini tanpa disusun mengikut “ranking”

#1 Restoran Zaman

Lot 1-3811 (KM14 Jalan Gambang), 26070 Kuantan, Pahang
Kita mulakan penjelajahan nasi lemak ini dengan berkunjung ke negeri Pahang. Apabila ditanya kepada penduduk setempat mahupun pengunjung yang biasa dengan Bandar Kuantan, nasi lemak Gambang ini adalah pilihan utama. Ada yang tidak teragak-agak mengatakan nasi lemak Gambang ini adalah yang terbaik di negeri Pahang.

restoran zaman kuantan

Nasi lemak Gambang yang dimaksudkan adalah nasi lemak Restoran Zaman yang terletak di Jalan Gambang. Pada waktu pagi, restoran ini penuh sesak dengan pelanggan yang tidak sabar-sabar untuk menikmati nasi lembut yang lemak dengan sambal yang merah tetapi tidak terlalu pedas. Walaupun ada rasa sedikit manis namun masih seimbang untuk menerbitkan rasa yang tidak menghampakan.
Tidak perlu lauk pauk yang lain, nasi lemak dengan sambal bilis dan telur rebus serta beberapa hiris timun cukup membuatkan kita terduduk kekenyangan.


#2 Nasi Lemak Warung Muhibbah

Taman Tupai Mas Perak, 34000 Taiping, Perak
Nasi Lemak Warung Muhibbah di Taiping merupakan salah satu warung untuk sarapan pagi yang popular di Taiping malah dikenali di sekitar Perak Utara. Pelbagai jenis sajian disediakan di warung ini, tetapi nasi lemak warung ini merupakan “trade mark” yang menarik barisan panjang setiap pagi. Gabungan sambal bilis yang merah menyala dan nasi yang cukup rasa membuatkan nasi lemak ini dianggap antara yang terbaik di Perak.

Nasi Lemak Warung Muhibbah

si Nasi Lemak Warung Muhibbah

Ada pengunjung yang suka dengan aroma dan rasa nasi. Tak kurang juga yang terpesona dengan sambal yang pedas menyelerakan. Selain sambal bilisnya yang popular itu, terdapat juga lauk pauk yang lain seperti ayam goreng, ayam masak merah, daging rending, kerang dan lain-lain. Juga terdapat telur goreng, telur rebus serta asas nasi lemak seperti timun dan kacang tanah goreng.
Jika anda berbicara dengan pelanggan yang sedang menjamu selera di sini, dengan mudah mereka akan menyatakan kesediaan untuk kembali semula ke warung ini untuk nasi lemak terbaiknya. Boleh baca tentang cerita tentang Nasi Lemak Warung Muhibbah yang ditulis oleh seorang blogger, Hafiz Rahim.



#3 Nasi Lemak Liverpool Cafe

Jalan Tan Sri Teh Hwe Lim, Batu Lanchang, Penang 11600
Jika anda peminat bolasepak Liga Perdana Inggeris, lebih-lebih lagi peminat “The Reds” Liverpool, tidak perlu membeli tiket ke Anfield untuk merasai nasi lemak Liverpool. Anda hanya perlu ke Batu Lanchang, Pulau Pinang untuk menikmatinya. Malah pada malam perlawanan bolasepak, suasana di café ini tidak ubah seperti di stadium dengan sorak sorai penonton yang mengikuti perlawanan melalui skrin di café ini.

Nasi Lemak Liverpool Cafe

Nasi Lemak Liverpool Cafe

Tetapi bolasepak bukanlah satu-satunya tarikan di café ini kerana nasi lemaknya juga “outstanding”. Nasi yang dikukus juga menaikkan rasa dan aroma yang menyegarkan. Sambalnya tidak mengecewakan walaupun tidak luar biasa. Tetapi ayam goreng berempahnya amat memukau dan menutup segala kelemahan yang lain. Anda boleh memilih lauk pauk yang pelbagai tetapi jangan terkejut kerana boleh dikatakan setiap pelanggan akan memilih ayam goreng berempahnya.
Kita boleh jadi peminat Chelsea, Arsenal ataupun Manchester United, tetapi tidak salah untuk mengunjungi café nasi lemak Liverpool ini kerana ia amat berbaloi untuk menikmatinya. :-)


#4 Nasi Lemak Ejam

Persimpangan Lebuhraya Ayer Keroh dan Jalan Muzaffar Shah, Melaka
Selain daripada kafe dan warung atau restoran, nasi lemak yang baik dan sedap juga acapkali boleh didapati hanya di tepi jalan. Ada peniaga yang hadir dengan gerai kanopi di tepi jalan seperti Nasi Lemak Ejam berhampiran persimpangan Lebuhraya Ayer Keroh dan Jalan Muzaffar Shah.
Seawal pagi lagi, anda boleh melihat barisan panjang untuk mendapatkan nasi lemak kukus Ejam dengan sambal yang istimewa.

Nasi Lemak Ejam

Nasi Lemak Ejam

Seperti juga nasi lemak yang lain, komponen asasnya seperti bilis, telur dan timun masih ada. Sambalnya yang dikatakan paling sedap di Melaka itulah yang menjadi tarikan. Malah ada pelanggan yang hadir dari jauh untuk membeli nasi lemak ini.
Gerai ini juga menawarkan ayam goreng berempah yang digoreng garing dan berjus. Sebungkus nasi lemak ini cukup untuk mengenyangkan hingga ke petang.
Sayangnya, nasi lemak ini hanya boleh dibeli bungkus dan mereka tidak menyediakan tempat untuk makan. Apapun tiada siapa yang peduli kerana keenakannya mengatasi segala.


#5 Nasi Lemak Cinta Sayang

Taman Ria Jaya, 08000 Sungai Petani, Kedah
Nasi Lemak Cinta Sayang bukanlah bererti nasi lemak romantic untuk bercinta dan bersayang, Cuma namanya diambil sempena Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani yang terletak berhampiran gerai asal nasi lemak ini. Kini kedai nasi lemak Cinta Sayang bukan saja mempunyai cawangan di Sungai Petani malah juga terdapat di Shah Alam.
Mungkin ada yang berpendapat nasi lemak ini sekadar nasi lemak biasa tetapi pesonanya amat memikat sehingga kedai ini sentiasa dikunjungi orang-orang tempatan dan juga pengunjung dari luar yang singgah untuk makan di gerai ini. Selain nasi lemak, gerai ini turut menawarkan juadah yang lain, akan tetapi tumpuan kita adalah kepada nasi lemak.

nasi lemak cinta sayang

nasi lemak cinta sayang

Sambal nasi lemak di sini memang sedap dan berbaloi-baloi untuk dinikmati dengan harganya yang murah walaupun kita memilih lauk pauk yang pelbagai. Di sini, lauk pauk boleh di ceduk sendiri mengikut kuantiti yang kita kehendaki.  Saranan yang diterima adalah sambal sotong keringnya yang “outstanding”.
Namun maklumat terkini menyatakan gerai ini telah berpindah ke lot rumah teres berhampiran iaitu rumah tuan punyanya. Ada juga pendapat yang menyatakan kualiti nasi kini sedikit berkurangan namun masih yang terbaik untuk dicuba.


#6 Nasi Lemak 43

Jalan Wakaf Che Yeh-Salor, Pasir Mas, Kelantan
Kembali ke Pantai Timur, Nasi Lemak 43 di Restoran Putry Pasir Mas dianggap berada dalam kelasnya yang tersendiri. Walaupun di Kelantan, anda akan mendapati sambal nasi lemaknya tidaklah terlalu manis seperti makanan lain.
Nasi lemak di sini menampilkan nasi yang lembut dan secukup rasa dengan sambal yang agak sedap. Walaupun sesetengah pengunjung menyatakan sedikit masin tetapi masih seimbang dengan rasa sambal untuk menyengat.
Nasi Lemak 43

Nasi Lemak 43
Seperti di tempat lain, antara lauk pauk popular di sini adalah ayam gorengnya selain daripada komponen asas nasi lemak seperti telur, timun dan sambal bilis. Terdapat juga saranan untuk “signature dish” di kedai ini iaitu nasi lemak puyuh. Ia dihidangkan dengan masakan puyuh yang amat sedap dan sukar didapati di tempat lain.
Sungguhpun ada pendapat mengatakan harganya yang sedikit mahal mengambil kira lokasinya di Kelantan, namun ramai yang menganggap ia masih berbaloi untuk merasai nasi lemak ala Kelantan.


#7 Warung Nasi Lemak Wak Kentut

Jalan Susur Kulai 2, Taman Kulai Besar, Johor
Tinggalkan seketika Pantai Timur untuk mencuba Nasi lemak Wak Kentut di Kulai Johor yang dianggap nasi lemak ayam goreng terbaik di Johor malah di Malaysia. Tanpa “signboard” yang gah namun kualitinya boleh dilihat pada pelanggannya yang berasak-asak memesan nasi lemak masing-masing.
Sambalnya dianggap biasa dan di labelkan “standard” tetapi kekuatan nasi lemak Wak Kentut adalah aroma dan perisa nasi serta kerangupan ayam gorengnya yang amat memukau. Ayam goreng Wak Kentut adalah “marvellous” dan menjadi tarikan utama pengunjung gerai ini. Ada pelanggan yang tidak teragak-agak menyatakan ayam goreng di sini lebih sedap daripada ayam goreng KFC.

Warung Nasi Lemak Wak Kentut

Warung Nasi Lemak Wak Kentut

Warung Nasi Lemak Wak Kentut

Selain ayam goreng, terdapat juga otak-otak yang boleh dimakan bersama nasi lemak. Walaupun tidak standing otak-otak Gelang Patah atau Muar, namun masih yang terbaik dalam kelasnya. Rasanya tidak rugi mencuba nasi lemak ini dan jangan terpedaya dengan namanya. Bak kata seorang pelanggan gerai ini, sedap sampai terkentut. Untuk lebih banyak tips tentang tempat ini boleh baca tips di Foursquare di sini.


#8 Kedai Nasi Lemak Bawah Rumah

Jalan Pasir Panjang, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu
Seperti yang dijanjikan, senarai nasi lemak terbaik kembali ke Pantai Timur tetapi kali ini ke Pasir Panjang, Terengganu di mana nasi lemak yang terkenal di sini adalah Nasi Lemak Bawah Rumah. Ia juga dianggap Nasi Lemak 2 pagi kerana ia hanya mula dibuka jam 2 pagi. Melihat barisan panjang umpama membeli tiket bola mengesahkan bahawa nasi lemak ini amat sedap.

Kedai Nasi Lemak Bawah Rumah

Kedai Nasi Lemak Bawah Rumah
Sambalnya sedikit manis tetapi sesuai dengan rasa keseluruhannya yang amat sedap. Keunikannya adalah nasi lemak ini turut menampilkan ikan tongkol sebagai salah satu menu lauk pauk utamanya yang amat popular di sini. Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana negeri Terengganu sememangnya terkenal dengan menu ikan tongkolnya.
Kesanggupan pelanggan yang berbaris berembun pada jam 2 pagi malah ada yang membawa keluarga sama sekali mengesahkan kesedapan dan keenakan nasi lemak di sini. Jika anda ke Terengganu dan terganggu tidur pada malam hari, jengahlah ke bawah rumah di Pasir Panjang ini. Pastinya berbaloi untuk berjaga malam.


#9 Nasi Lemak Power

Jalan Rasah, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
Nasi lemak ala mamak terbaik boleh didapati di Rasah, Negeri Sembilan. Dikenali sebagai nasi lemak Power, ia menawarkan suasana ala kedai mamak dan cara hidangannya juga ala mamak. Dengan komponen asas nasi lemak dan beberapa jenis lauk pauk tambahan, nasi lemak Power ini turut menjadi kegemaran penduduk setempat.

Nasi Lemak Power

Nasi lemak power ini bukan setakat namanya tetapi rasa dan keenakannya juga boleh dianggap power. Sambal tumis ala mamak yang disertai dengan ayam goreng ala nasi kandar, sememangnya ia menjadi tarikan pengunjung terutamanya anak-anak muda yang ingin santai di malam hari.
Tidak banyak yang boleh dikatakan tentang nasi lemak ini kerana perkataan power di situ telah menggambarkan segala-galanya.


#10 Nasi Lemak Antarabangsa (Kg Baru)

4 Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baharu, 50300 Kuala Lumpur, Malaysia
Nasi lemak antarabangsa Kampung Baru ini tidak perlu diperkenalkan terlalu banyak kerana kebanyakan warga Kuala Lumpur malahan indivdu yang sering ke Kuala Lumpur pasti tahu dan sangat kenal dengan nasi lemak ini. Kedai ini tidak pernah sunyi daripada pelanggan yang tidak pernah jemu menjamah menu nasi lemak ini.
Dilabelkan sebagai antara yang terbaik di lembah kelang, nasinya yang sedap dan sambalnya yang enak itu dengan mudah menangkap selera pelanggan bukan saja tempatan malah antarabangsa.
Mungkin kedudukannya yang amat baik ditengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadikannya mudah menarik perhatian pelanggan. Namun kualitinya juga tidak boleh diragui walaupun ada pendapat yang mengatakan status nasi lemak legenda ini kini makin pudar. Bukan menafikan keenakkannya, tetapi dikatakan dahulu lebih baik.
Sambal di sini sedikit manis dan ada yang lebih memilih sambal sotong berbanding ikan bilis. Melihat lauk pauk yang dimasak dalam kuantiti yang banyak sekali lagi membuktikan ia masih menjadi piihan sehingga kini. Untuk website rasmi mereka mereka boleh klik sini.
……………………………………………………………………………………………………………………………


Senarai ini bukanlah muktamad tetapi lebih kepada antara yang terbaik. Mungkin masih banyak lagi gerai nasi lemak yang lebih sedap terutamanya gerai-gerai di tepi jalan tanpa nama dan promosi besar-besaran. Kadangkala makanan terbaik hanya datang daripada periuk rumah kita sendiri tanpa kita menyedari.
Namun senarai ini sedikit sebanyak memberi panduan untuk kita memilih dan mencuba nasi lemak terbaik di negara ini. Anda suka yang mana? Kepada nasi lemak lover, harap artikel ini membantu anda.
Jangan lupa share artikel ini jika anda suka